Tuesday, March 25, 2008

Mengejar sehelai kertas

Ada apa dengan sehelai kertas itu?
Sehingga berupaya mengundang sejuta mimpi,
Menghidupkan seorang wira, seorang srikandi,
Mematikan semangatku yang dulunya berapi.


Hanya kerana sehelai kertas,
Kita bak jasad tanpa nyawa
Senyum pun hanya kerana terpaksa
Supaya mereka tak tuduh kita lemah.


Lalu kita sembunyikan segala rasa
Dan tabahkan diri dengan asa


Namun, seringkali kita tak punya masa
Kita tak punya masa untuk jadi kita yang sebenarnya
Kerana kita terlalu sibuk mempertahankan sekerat impian
Pedulikan mata kita yang kian buta, hati kita yang semakin beku
Dan kita terkapai-kapai mencuri nafas.


Akhirnya, kita bermatian itu untuk apa?
Hanya untuk mengecap segulung ijazah
Yang pada zahirnya, hanya sehelai kertas saja.

Topeng

Aku hanya watak yang direka
Tanpa topeng itu aku tak bermakna
Jangan lucutkan topengku, aku tak rela
Aku tak rela diri ini rentan dengan dada terbuka
Aku tak ingin berdepan dengan kenyataan yang nyata
Biarkan saja aku di balik watak yang direka
Bairkan saja aku sembunyi di balik uniform tua.

Kepada Ibu

Atas nama cinta
Engkau rela pertarungkan nyawa
Untuk memberiku peluang melihat dunia
Bak kain putih, engkau hiasku dengan warna
Engkau besarkan aku dalam payungan kasihmu
Kasih yang tak pernah putus,
walau waktu kian berjalan lalu
Dan dewasanya aku kerana kasihmu
Matangnya aku kerana cintamu
Begitu agung sekali pengorbanan seorang ibu.


Dan di saat dunia ini terlalu gelap buatku
apabila hati ini dipaksa membeku
dan hari depanku itu seakan diam membisu
Ketika aku hilang kepercayaan itu
Engkau setia menemaniku
Walau dalam gelap tanpa sinaran cahaya
Walau tanpa kepastian yang nyata
hanya kerana atas nama cinta


Lalu aku di sini
Hanya mampu mengarang sekuntum puisi
Namun tak mampu ku tandingi
Kasihmu yang tak berbelah bagi
Cintamu terlalu agung untukku balas kembali
Aku hanya mampu mengukir sekerat janji
Akan aku tugukan kasihmu di puncak gunung ini
Biar ia terpahat di kalangan berbilang Khalil dan Fansuri
Selamanya kekal tertugu, cinta dan kasihmu yang abadi.