Monday, October 20, 2008

Hakikat seorang diri

Debu itu

membentuk sekeping hati
mewujudkan secebis nurani

inilah hakikat seorang diri

Di tepian tasik harapan

menggapai mencari sekerat erti
tentang ada apa pada hidup ini

inilah hakikat
seorang diri

Thursday, April 3, 2008

Jika benar cinta dikatakan buta

Kerana cinta, kita dikatakan buta,
Bukan buta di mata, tapi pada sekerat hati
Kerana itu,
Kita terlalu mudah dicaturkan kekata cinta
Kerana itu,
Kita mudah terikat dengan perjanjian janji
Kita terbatas dan gersang menilai segala rasa
Kerana cinta itu kita jadi begini
Tapi,
Jika benar cinta itu buta,
Lalu, ada apa dengan cinta kita -
Cinta pandang pertama

Tuesday, March 25, 2008

Mengejar sehelai kertas

Ada apa dengan sehelai kertas itu?
Sehingga berupaya mengundang sejuta mimpi,
Menghidupkan seorang wira, seorang srikandi,
Mematikan semangatku yang dulunya berapi.


Hanya kerana sehelai kertas,
Kita bak jasad tanpa nyawa
Senyum pun hanya kerana terpaksa
Supaya mereka tak tuduh kita lemah.


Lalu kita sembunyikan segala rasa
Dan tabahkan diri dengan asa


Namun, seringkali kita tak punya masa
Kita tak punya masa untuk jadi kita yang sebenarnya
Kerana kita terlalu sibuk mempertahankan sekerat impian
Pedulikan mata kita yang kian buta, hati kita yang semakin beku
Dan kita terkapai-kapai mencuri nafas.


Akhirnya, kita bermatian itu untuk apa?
Hanya untuk mengecap segulung ijazah
Yang pada zahirnya, hanya sehelai kertas saja.

Topeng

Aku hanya watak yang direka
Tanpa topeng itu aku tak bermakna
Jangan lucutkan topengku, aku tak rela
Aku tak rela diri ini rentan dengan dada terbuka
Aku tak ingin berdepan dengan kenyataan yang nyata
Biarkan saja aku di balik watak yang direka
Bairkan saja aku sembunyi di balik uniform tua.

Kepada Ibu

Atas nama cinta
Engkau rela pertarungkan nyawa
Untuk memberiku peluang melihat dunia
Bak kain putih, engkau hiasku dengan warna
Engkau besarkan aku dalam payungan kasihmu
Kasih yang tak pernah putus,
walau waktu kian berjalan lalu
Dan dewasanya aku kerana kasihmu
Matangnya aku kerana cintamu
Begitu agung sekali pengorbanan seorang ibu.


Dan di saat dunia ini terlalu gelap buatku
apabila hati ini dipaksa membeku
dan hari depanku itu seakan diam membisu
Ketika aku hilang kepercayaan itu
Engkau setia menemaniku
Walau dalam gelap tanpa sinaran cahaya
Walau tanpa kepastian yang nyata
hanya kerana atas nama cinta


Lalu aku di sini
Hanya mampu mengarang sekuntum puisi
Namun tak mampu ku tandingi
Kasihmu yang tak berbelah bagi
Cintamu terlalu agung untukku balas kembali
Aku hanya mampu mengukir sekerat janji
Akan aku tugukan kasihmu di puncak gunung ini
Biar ia terpahat di kalangan berbilang Khalil dan Fansuri
Selamanya kekal tertugu, cinta dan kasihmu yang abadi.

Friday, February 29, 2008

Kerana aku musafir cinta

kerana aku hanya musafir cinta
menagih sekerat kasih
menagih sekerat rindu
walau sepantas angin yang berjalan lalu


walau ternyata duniamu gersang
tanpa hiasan cinta
walau ternyata hatimu gelap
tanpa hiasan warna


kerana aku hanya musafir
yang cekal menagih cinta
aku akan pasrah dan tabah merintangi
kegersangan padang pasir yang membentuk sekerat hati

Monday, January 21, 2008

Aku tahu

Aku tahu
ketidaktabahan itu hanya akan mengundang persimpangan
Lalu biarkan aku terpinggir segala kegersangan
Cuma ku pinta, intipkan untukku secebis keterasingan
Agar aku dapat terima peritnya persuratan

Saturday, January 12, 2008

Aku ....

Aku redha
Aku pasrah
Aku tabah

Tak mungkin aku menyerah
Tak wujud bagiku kekata kalah
Tak ku hiraukan darah yang menitis di tanah ini
Tak ku hiraukan debu yang meliputi hati

Aku redha
Aku pasrah
Aku tabah

Walau dalam keperitan, aku dihukum
Walau dalam derita, aku dipaksa senyum

Monday, January 7, 2008

Ternyata

Siapa yang berani kata,
Hidup bak pelangi indah
Ditemani cahaya setia sinarnya mentari
Diwarnai mawar merah yang tak berduri.

Ternyata.

Hidup tak sepi dari dugaan
Perahu ini karam di lautan rintangan
Diari ini penuh ternokhtah cabaran

Dan aku selemah benang yang tak ditegakkan
sekuat ketulan air batu yang terserlah rentan
setegar lalang yang ditiup bayu
sekebal kaca yang tak kalis peluru

aku lemas dibaham ganasnya gelora
aku tewas dihanyutkan kekejaman masa
aku tercungap-cungap, kehilangan asa,
terkapai-kapai mencari secebis makna.

Jasad tergantung tanpa nyawa

Terpaku aku
Di pintu syahdu
Termenung.
Mengimbas kembali
Kekhilafan yang ada pada diri ini.

Ada apa dengan nama?
Yang dikatakan insan, manusia
tersangat lemah, tersungkur dihadapan dunia

Terasa denyutan di pergelangan
Kelihatan titisan darah delima
Yang setia menemani dalam duka

Kekesalan pula yang mengetuk pintu kalbu
Oh Tuhanku,
Apa yang telah hambamu ini lakukan!
Menyeksa tubuh yang tak dinodai dosa

Oh Tuhanku,
aku tak bisa berpaling kerna
sesungguhnya diriku ini
bagaikan
jasad yang tergantung tanpa nyawa

Friday, January 4, 2008

aku tegar

aku tegar.
aku tegar!

walau tak sudi kau membelai hati ini lagi
walau tak setia kau temani aku di sisi sepi
aku tetap tegar dan kuat berdiri
kerna aku tahu
bintang kerdip akan setia menyuluh cahaya
dan ombak memutih tetap setia mendakap pantai jua.